Wednesday, February 23, 2011

1970 JALAN AMPANG. Hadapan Balai Senilukis Negara ( Dewan Tuanku Abdul Rahman)

Perpindahan ke Kuala Lumpur ketika itu melibatkan seluruh keluarga, Masalah kewangan dari kampung digendung bersama ke Kuala Lumpur.
Masalah tetap masalah kerana Kuala Lumpur ketika itu tidak menjanjikan apa apa untuk sesiapa saja yang cuba untuk hidup sebagai orang Kota.
Saya rasa cukup untuk perkatakan tentang Episod SUSAH. kerana tidak akan selesai dan tidak akan menemui titik penamat.
Yang penting aku harus cari jalan keluar daripada hidup berangan-angan. Terfikir apakah kebolehan yang aku ada untuk diperdagangkan pada orang ramai.
Berfikir untuk mencari kerja sedangkan pada ketika itu bukan lah mudah. Disamping itu aku mengisi masa lapang dengan melukis, segala macam bahan aku gunakan, Oleh yang demikian terhasil lah berpuluh puluh buah lukisan cara aku.

                               

Beca Arwah Ayah
ada sumber terpenting untuk membawa Lukisan
Dari Datok Keramat ke Jalan Ampang
Aziz Rahman atau A J Rahman 1950-1990
sering menemani aku ketika di Jalan Ampang.
Tunjuk Ajarnya tentang bagaimana melukis menggunakan Cat Air

Awal pagi selepas Solat Subuh ayah segera dengan Becanya dan terus berkayuh hingga ke Pasar Borong, Jalan Ipoh ketika itu, membeli Ikan, Sayur sayuran untuk dijual pada penduduk setempat, kampung Lembah Kinabalu, Lorong Kiri 5 Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur. Kebetulan rumah setnggan yang kami bangunkan dijadikan Kedai Runcit secara kecil kecilan bahagian
serambi yang sememang nya berlantai terpaksa diroboh. Supaya lebih sesuai untuk dijadikan semacam kedai runcit. Dari hasil jualan dapat menampung hidup kami sekeluarga. 
Sekembalinya ayah dari Pasar Borong, segera lah aku pula mengambil alih menggunakan Beca bertuah itu untuk muatkan seberapa banyak Lukisan yang ada, dan aku pula berkayuh menuju ke Jalan Ampang supaya dapat aku perdagangkan hasil karya yang tak seberapa itu. Aku sedar lukisan yang ada bukan lah lukisan yang terbaik, hanya sekadar sebuah lukisan biasa bagi seorang Pelukis yang cetek pengelaman. Namun aku pasti Tega untuk terus hidup , jika tidak begini apa pula akan terjadi untuk hidup pada masa mendatang. Sudahlah dikampung tempat tumpah darah lagi kan susah apa tah lagi kalau dirantauan , jika aku leka pasti hidup akan terus terhumban dalam ertikata merimpat.

Gantung Lukisan di Pagar (Tepi Jalan Ampang)
Setiap hari ini lah aktiviti aku lakukan. Selesai saja gantung lukisan di Pagar aku rehat sebentar di Warung Pak Hassan berdekatan saja. Pak Hassan orang Melaka ceria kalau aku tiba kewarung nya. Macam biasa Pak Hassan!!!! Segelas teh tarik dan sebungkus nasi lemak panas berbungkus daun pisang........jarang menemui nasi lemak dibungkus dengan daun pisang dengan sambal ikan bilis yang memang menyelerakan, maklum lah orang kampung yang berniaga masih menjaga kesempurnaan makanan biar terasa sedap walaupun sedikit.


Sambil mengemas meja Pak Hassan bertanya. Aris macamana!!! Pak Hassan tengok tak der pun orang singgah beli lukisan kau. Dah lama sangat kamu gantung lukisan kat pagar tu. Ya lah Pak Hassan pedih betul perasaan ni Pak Hassan, sabar ya!!! Ris kamu dah usaha Insyaallah akan ada juga rezeki tu!!!. Ya Pak Hassan mungkin saya perlu bersabar dengan dugaan ini. Aku bertekad untuk terus melukis dan berusaha bersungguh sungguh pasti akan datang hasilnya. Hidup ini bukan lah mudah seperti yang aku sangkakan.
Hujan dan panas terpaksa aku lalui, naik turunkan lukisan dari pagar telah menjadi kebiasaan. lebih lebih lagi dimusim hujan. Apa pun hujan dan panas adalah perkara biasa di Negara kita. kalau tak mahu berhujan atau berpanas kena cari tempat yang ada bumbung. Contohnya di Balai Seni Lukis atau di Pasar Seni, atau Galeri aku sendiri.
Dari masa ke masa setiap hari aku sering menggalas kepayahan dan harapan akhirnya lukisan yang dipagar pelahan lahan telah dibeli orang. Keyakinan mula segar kembali untuk mempercayai aku akan jadi pelukis yang berjaya. Apakah menjadi pelukis di Tanahair sendiri, menjanjikan kemewahan? atau boleh cari makan? inilah pertanyaan yang sering mengoyak cuping teliga ku, kadang meledak kemarahan dalam nubari. Kesabaran juga menjadi teman kehidupan rupanya. Satu pertanyaan yang bertentangan dengan Akidah sebagai penganut Agama Islam, aku percaya dengan cukup mendalam. Jika sudah berusaha nescaya Tuhan akan memberikan. Apa beza nya seorang Nelayan turun kelaut mencari rezeki pastikah Sang Nelayan membawa pulang Ikan atau sebalik nya. pada hal setiap hari kita masih makan ikan, keenakan hidangan gulai Ikan masak lemak cili api mampu melupakan kita pada Sang Nelayan, betapa sukarnya mencari rezeki dilaut. Akhirnya sorongkan pinggan sambil sedawa besar, kekeyangan terus tidur dengan bermacam mimpi mengasyikan.




FORMAL ATAU TIDAK FORMAL. sebagai seorang pelukis?


Satu persoalan penting menggolak fikiran Masyarakat Moden kita hari ini. Kalau jadi pelukis semestinya ada pengkhususan begitu juga bidang bidang kerja lain. Mempercayai pengetahuan adalah suatu sikap yang terpuji. Tetapi dalam bidang Seni, khususnya senilukis jika sekadar pengetahuan melukis sahaja belum menunjukan kesempurnaan sebagai seorang pelukis, perlu memiliki kemahiran dalam penguasaan catan, yang utamanya tahu melakar, komposisi, motif, konsep, dan segala macam kerenah yang harus di adaptasi dalam karya seni lukis.

LAKARAN (SKETCHES)

Lakaran adalah keutamaan bagi setiap pelukis, tujuan membuat pendekatan atau kepekaan pelukis terhadap sesuatu yang dilukis. mencari seni pada tujuan lukisan kita. Seni yang hidup dalam jiwa manusia yang bernama insan yang lagi Insani. menilai segala macam yang dilihat atau yang didengar, atau yang difikir. untuk dihidupkan khabar kepada sesama Manusia. bukan semata mata bila disebut lukisan semestinya cantik cantik belaka. malahan lebih dari itu, yang musnah, yang sedih, gembira yang halus mulus dan berbagai. Akhirnya manusia akan tahu dan menilai, menyayangi segala yang Tuhan amanahkan pada makluknya.

Betapa penting nya pendidikan seni pada manusia demi menjaga segala nikmat dari Ilahi. Menilai dengan rasa rendah hati terhadap keindahan dan kesempurnaan.
Contoh. Keindahan alam semula jadi Bukit Bukau, Gunung Ganang, Sungai yang mengalir kejenihan, pohon pohon menghijau berbuah melahirkan bibit kehidupan pasti dijaga dengan bersungguh dan amanah. Jangan dirosakan bunga bunga yang segar mekar. sebab manusia perlu hidup seperti dalam Taman. Yang dikatakan Habitat yang betul. Pendidikan Seni perlu mengajar manusia tahu nilai sesutu yang diberikan, tidak sesuka hati mengotorkan tempat yang baik untuk sesama manusia hidup. begitu juga hidupan selain dari yang dipanggil manusia.
Kesimpulan nya Pendidikan Seni perlu mengajar manusia erti kehidupan yang harmoni. ada sifat sifat rendah hati.


KELEBIHAN MELUKIS DEPAN KHALAYAK

Melukis depan khalayak bukan suatu perkara yang mudah, pelukis perlu memilik daya ketahanan Mental yang kuat. Penguasaan Teknik yang cukup, daya imajinasi yang luas.
Tidak semua pelukis mampu melakukan.
Lukisan yang di gantung untuk dijual akan lebih mendapat perhatian para peminat apabila pelukis beraksi melukis dengan penuh bergaya.
Walaupun setiap hari aku melukis di Jalan Ampang, sambil mengharapkan lukisan terjual, namun hanya tinggal harapan. Tak semudah yang dirasakan. Orang lebih suka melihat daripada membeli.








Kebanyakan lukisan yang dipamerkan pada pagar semua Lukisan Pemandangan.

Lukis menggunakan Pallete Knife.
Lebih dikenali dengan Istilah TEKNIK IMPASTO. Cat minyak yang digunakan mestilah tebal atau timbul sekaligus menunjukan strok pada lukisan. Mungkin ramai yang tahu teknik ini. Teknik ini lebih mempengaruhi pasaran lukisan dimana-mana.


Lukisan Pemandangan Rumah Nelayan yang sangat popular pada Zaman Tujuh Puluhan. Dalam teknik IMPASTO.






Cukup lah untuk sekadar saya sebut tentang teknik atau bagimana cara melukis.


Setahun telah berlalu, aku menjadi biasa dengan segala macam kerenah ketika meletakan harapan seluas luas nya, disitu, Jalan Ampang banyak mengajar aku tentang bagaimana mengenali kemahuan atau selera pengemar lukisan yang setiap hari melalui jalan tersebut, setakat yang mampu aku lukis, sedikit sebanyak telah pun member i faedah . Keyakinan semakin melunjak untuk terus melukis. Dari hasil penjualan lukisan aku tidak sia siakan, selain makan minum aku tidak lupa membeli bahan senilukis tidak terkecuali membeli buku buku panduan seni lukis, banyak dijual di Venus Art . Jalan Petaling. Akhir nya boleh dikatakan semua buku buku yang bersangkutan senilukis aku miliki. Dan disamping itu membeli buku buku sejarah senilukis Dunia dan tidak mengabaikan juga tentang sejarah seni lukis Tanahair (Malaysia)






Kebetulan aku menjual lukisan dihadapan Balai Seni Lukis Negara, Kesempatan untuk melihat pameran Koleksi Tetap dan Pameran Pameran Lain tak pernah aku abaikan. Boleh dikatakan setiap hari keluar masuk ke Balai Seni Lukis Negara tujuan membuat rujukan secara terperinci. Secara tidak langsung semua kakitangan Balai Seni Lukis Negara ketika itu aku kenal
Encik : Sulaiman . Pengarah Balai Senilukis Negara
Puan Wairah Marzuki, En Rahimi Harun, En Malik, En Samad, hingga Pak Alias pengawal Keselamatan. Aku merasakan sesuatu yang cukup berharga mengenali mereka, walaupun tanpa memperdulikan lukisan aku tersenarai dalam Koleksi Balai seni Lukis Negara. Tak perlu aku fikirkan lagi lukisan aku samada layak untuk menembusi tembok yang terlalu tinggi dan tebal itu. Cukup lah sekadar aku mengenali beberapa orang pelukis yang keluar masuk disitu. Hoesein Ennas, Khalil Ibrahim, Latif Mohidin, dan beberapa orang lagi. Walaupun tanpa memperdulikan aku, tetapi mereka mereka ini adalah sumber Inspirasi untuk aku terus melukis dan melukis

Seni Lukis bukan sesuatu perkara yang mudah untuk disempurnakan, kerana Seni Lukis adalah penyatuan ruang yang amat sukar berdasarkan cantuman Daya Fikir dan Rasa hati yang tidak terbatas.

Itu lah kesukaran apabila aku melihat Karya Karya besar yang terpapar di Panel Pameran Balai Senilukis Negara. Pemikiran aku yang penuh sarat memikirkan tentang karya tersebut, apa mungkin aku akan sampai ketahap Mereka yang telah berjaya mencipta nama sebagai Pelukis yang terkenal lagi ampuh dengan Karya mereka …

Aku pasti tega terus melukis walaupun berat segala macam kerenah kehidupan. Kalau untuk menyebut soal tidak makan, aku rasa malu dengan diri sendiri, sedangkan masih ramai lagi manusia yang melata di muka Bumi ini yang lebih sukar untuk mendapat makanan. Malahan tidak punya rumah tempat berteduh, hidup dalam ketakutan dan kesakitan, kesedihan. Aku rasa masih bernasib baik kira Tuhan telah melahirkan aku di Negara Bertuah ini. Kita masih mampu berusaha terus menerus dalam apa bidang sekalipun. Cuma aku tak pernah lupa setiap apa yang kita inginkan, bukan mudah untuk dicapai melainkan harus melalui proses yang sukar. Inilah latihan untuk kematangan sebagai seorang pelukis. Lebih lebih lagi Pelukis Melayu, kita sama sama menghadapi (Tuduhan Mitos Melayu) berpendapat menjadi pelukis susah untuk cari makan. Oleh yang demikian, pelukis dengan sendiri dihimpit gejala tidak simpati dari bangsa sendiri.
Dengan penuh kejujuran aku katakan, bahawasanya orang Melayu yang lalu lalang sepanjang aku berada sebagai seorang pelukis di Jalan Ampang , tidak sebuah lukisan yang terjual melainkan di beli oleh pelancung asing atau bangsa bangsa lain di Negara kita. Hal ini berlaku pada zaman 70’an hingga 80’an
Alhamdulillah…..pemikiran yang mengganggap Pelukis tidak boleh cari makan, mungkin telah berakhir kerana Pendidikan Seni mula di ajar di Sekolah, kalau tidak sepenuhnya pun. Peringkat asas mula di ajar.
Di perkuatkan lagi apabila dengan keujudan ITM pada pertengahan tahun 1972 berjaya melahirkan ramai para Pelukis Melayu yang berpengetahuan.Disamping itu pada setiap tahun ITM mengadakan Pameran Diploma (Diploma Show), di Balai Seni Lukis Negara. Bagi Pelajar Pelajar yang mengambil Pengkhususan Seni Halus. Boleh saya sebutkan nama disini Seperti , Saudara Amron Omar, Anuar Rashid, Samjis Mat Jan, dan ramai lagi yang bakal memperbaharui Persembahan dalam Seni Tampak Kita.

Alangkah bertuah nya mereka dapat menduduki UITM sebagai Pelajar dalam Pengkhususan Seni Halus (Fine Art). Pada ketika itu, hasil karya mereka amat luar biasa kalau dibandingkan aku hanya seorang Pelukis Jalanan yang tidak punyer pengkhususan seperti mereka. Aku hampir melupakan apa yang aku lakukan setiap hari di Jalan Ampang, merasakan lukisan apa sebenar nya aku, pemendangan yang hanya lukisan tradisi yang boleh lihat dimana mana.. Fikiran mula berontak, siang dan malam mencari akal apa yang harus aku lukis supaya ada kelainan…

Aku mula diserang Krisis Identiti, bukan identity seorang pelukis, sebab aku sendiri masih meraba raba dalam mencari identity. Tetapi identity seorang penjual dan pembuat lukisan sahaja. Bagaimana aku harus melukis seperti mereka, sedangkan aku tidak tahu langsung mengapa lukis begitu dan begini. Yang aku tahu hanya guna cat minyak lukis dan lukis. Tak pernah memikirkan soal teknik, konsep, dan sebagainya. Meskipun aku mereka reka untuk melukis seperti mereka, namun tiada punya erti apa-apa kerana aku tidak mengenal. Tidak mengenal kerana aku tiada Ilmu Seni Lukis.

Menyedari tentang itu, aku mengambil keputusan untuk mendekati seberapa ramai pelukis, walaupun kadang kadang sebagai manusia ada perasaan malu bercampur resah, setiap kali ada pemeran lukisan aku cuba dekati mereka, sambil menyapa. Ya!!!!biasalah orang tak kenal aku hanya begitu begitu saja disisi mereka. Aku sedar dan aku tahu diri, semua ini tidak menjadi luka yang berdarah dan lambat sembuh. Aku segera padamkan perasaan hiba tak tentu pasal. Yang penting aku pastikan masa akan datang aku bakal berkawan rapat juga dengan mereka.
Telah menjangkau tiga tahun aku menjadi terbiasa dengan keadaan di Jalan Ampang, setiap hari kereta lalu lalang, ada juga yang membunyikan Horn,,, tanda kenal. Tapi kenal yang tak pernah tahu siapa mereka. Setiap hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad berlaku kesesakan, kerana warga kota menuju ke Litar Lumba Kuda…dalam kesesakan tersebut ada yang menegur aku, Ok bro. doakan aku menang harini, kalau aku menang aku singgah beli lukisan kau. Hahaha.. Doakan orang nak ke Pusat Judi. Mana boleh….Adoooooi. Di Taqdirkan memang betul manusia yang tadi singgah beli lukisan aku dua tiga keping…

Lukisan yang aku sangkut dipagar bukan semata-mata untuk memperagakan untuk dilihat orang, kalau boleh biarlah setiap hari ada yang akan membelinya, harapan yang bermain dibenak fikir sambil mengayuh beca, keringat membasah kadang kadang memedihkan mata, dan terasa masin pada bibir yang dahaga. Aku merasakan entah sampai bila begini, adakah sesuatu kemungkinan akan tiba2 datang untuk mengubah harapan aku dari tepi Jalan kesuatu daerah yang lebih baik?. Atau mungkin kah aku pasti terus begini demi merungkai persoalan hidup yang pastinya diteruskan. Jika tidak begini bagaimana pula. Hasil dari penjualan lukisan tidak menentu. Sukar aku memastikan untuk maju sebagai seorang pelukis seperti aku ditepi jalan. Wang ringgit perlu untuk menggubah situasi aku sekarang, peluang untuk menjual lukisan ditempat tempat yang lebih dihormati tidak banyak. Kuala Lumpur ketika itu tidak ada galeri galeri Senilukis Swasta. Hanya yang ada satu Galeri di Wisma Lok di Medan Tuanku Abdul Rahman, tak Salah aku Samad Galeri, itupun bukan mudah untuk menumpang nasib disitu. Kerana lukisan yang aku ada sesuai buat penghias dinding rumah orang biasa…

Bertahun tahun juga aku di Jalam Ampang, mahu tidak mahu itu lah yang aku lalui, ditaqdirkan pada suatu hari dalam 1977 sedang aku asyik melukis tiba tiba muncul lah beberapa orang Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kemas dengan Uniform mendekati aku dan terus mengarahkan aku supaya kemaskan semua Lukisan yang tergantung agar tidak lagi melukis disitu, alasan yang beri oleh mereka hanya Kesalahan. Aku bertanya mereka kalau tak boleh disini dimana yang boleh. Jawab mereka sebangsa aku ini.. “Dimana mana pun tak boleh…” dalam hati nurani aku merasakan amat kecewa bukan kerana pasal tidak boleh melukis disitu lagi, tetapi apabila memikirkan kata2 Dimana mana pun tak boleh. Inikah Bangsa aku yang aku harap dapat memberi sedikit simpati demi aku melukis mencari rezeki…
Selang beberapa hari peristiwa itu berlaku, aku masih lagi tidak berputus asa untuk kembali melukis di Jalan Ampang, mungkin apa yang telah berlaku tempuhari hanya secara kebetulan saja. Gantung lagi lukisan aku dipagar.disamping itu aku bersedia untuk melukis seperti biasa..
Alang kah kecewanya aku, rupa rupanya penguat Kuasa DBKL datang lagi. tanpa bertolak ansur semua lukisan aku dirampas dan dibawa pergi. Aku merasakan seolah olah direjam hidup hidup. Rasa mahu juga berperang (Bergeroh). Aku diam beristiqfar muga Tuhan tidak membenarkan itu.... Segala gala nya habis sudah, harapan untuk kelansungan hidup berkecai akhirnya. Aku pulang hanya bertemankan beca arwah ayah....Sebelum lukisan aku dibawa pergi entah kemana, aku merayu pada Melayu beruniform, tolong lah beri sedikit pertimbangan, kalau boleh jangan dirampas lukisan saya, kerana saya perlukan untuk menampung kehidupan demi buat Tiga orang anak dirumah. Apa saja rayuan tidak didengar. Aku merasakan mengapa mereka semestinya bertindak begitu bukan apa apa hanya lukisan yang aku gantung dipagar, adakah satu kesalahan?..perlukan kah aku sebut perkara perkara lain lagi yang lebih besar lagi kesalahan nya?...Nescaya aku akan melakukan satu kesalahan besar pada sesiapa saja yang berkepentingan.
Tiga orang anak kami hanya berteduh dirumah setinggan, ada baik nya juga rumah tempat berteduh tidak perlu bayar sewa. Mohd Azmi, Sumyarty, dan Sunarty masih kecil, mereka tidak mengerti apa apa. sampai ketika lapar anak anak perlu makan. Inilah persoalan yang aku cuba untuk berkata pada penguat kuasa DBKL yang sebangsa dan seagama aku. yang menjunjung Kalimah Syahadah..pada siapa lagi aku harus meletakkan harapan melainkan pada bangsa aku.Tak perlu aku berlarutan menulis perihal peristiwa ini. Nescaya blog catatan ini akan menjadi lain pula.


Dalam keadaan yang amat tertekan, aku tak dapat melelapkan mata lagi, pemikiran menerawang kemana-mana. Ingin menjual lukisan masih kuat menghantui aku. Aku tak perlu mengenepikan niat asal ingin menjadi pelukis yang dikenali disuatu ketika nanti. Warna serta peralatan melukis masih ada dalam simpanan untuk membuat lukisan lagi. Aku mengulangi lagi melukis hampir setiap hari. Sambil melayan anak anak yang masih kecil. Aku tidak mampu belikan mainan untuk anak anak, itu lah sebab nya anak anak sering mengusik peralatan melukis menggantikan mainan. Kadang kadang bila terleka lukisan yang telah siap menjadi Abstrak.

Hampir sebulan aku tidak kemana-mana wang untuk menampung hidup telah lama habis. Kini berhutang pula, mengambil barang barang keperluan di Kedai Arwah ayah yang serba kekurangan, kesian arwah ayah ditimpa oleh kemelesetan aku dan keluarga. Mahu tidak mahu ini lah yang berlaku. Ayah memahami keadaan aku. Walaupun begitu aku tidak putus-putus mencari-cari tempat yang sesuai untuk menjual lukisan. Akhirnya aku kenal pasti disuatu tempat di Jalan Ampang juga berhampiran lorong masuk ke Sekolah Menengah Ampang , seperti biasa gantung lagi. Di sini aku tidak bertahan lama akhirnya aku sendiri membuat keputusan untuk tidak lagi di Jalan Ampang.

Aku tidak akan selamanya berada dipinggir pinggir jalan, cukup lah hampir tujuh tahun aku berhempas pulas siang dan malam, pengelaman yang ada hanya kisah dari jalanan. Tidak dinafikan apa pula persepsi Masyarakat. Setiap yang berada dijalanan tak mungkin sampai kemana-mana. Hal hal begini memang telah terpahat dalam pemikiran masyarakat. Walaupun apa yang kita buat itu baik namun Jalanan tidak mampu mengubah persepsi begitu. Lain pula di suatu tempat yang baik seperti di sebuah bangunan atau ruang ruang pameran di Lobby hotel ini sudah pasti menjanjikan sesuatu yang lain dari Jalanan. Oleh kerana aku sering kenyang dengan kepayahan untuk membuat apa saja keputusan tidak lah begitu sukar. Kalau tidak buat keputusan pun aku begitu juga, kalau buat keputusan pun begitu lah juga. Yang penting aku pasti terus melukis dan lukis.

Setiap hari aku keluar dari rumah seiring dengan orang lain yang pergi bekerja dimana-mana. Sekurang kurang melatih diri seperti orang lain yang bekerja. Cuma destinasi aku berbeza, menuju diperkarangan panggung wayang Coleseum, disitu terdapat beberapa unit kedai, tiga diantaranya adalah Studio Senilukis, aku mengenali mereka yang melukis disitu, Allhayarham Aziz Rahman seorang pelukis berpengelaman dan mahir menggunakan Water Colour, Aziz Rahman adalah anak didik Allahyarham Abdullah Ariff seorang pelukis Water Colour terawal di Negara Kita. Allahyarham Hamzah Abdul Wahab pelukis pemandangan yang berpengelaman menggunakan Cat Minyak dan Pallete Knife. Dan Raja Azhar Idris muda agak sebaya aku. Setiap hari aku mengulangi mereka disitu, menjadi Pak Pacak.
Berbulan juga aku begitu akhirnya terjalin juga hubungan dengan tiga orang pelukis disitu. Disamping itu pelukis pelukis lain juga telah menjadi kawan rapat, Ghani Ahmad, Amiruddin Ariffin, Salleh Dawam, Husin Hasan, Khalil Ibrahim, Widodo, Yusop Gajah, dan ramai lagi. Mereka ini sama saja dengan aku melihat lihat tiga pelukis disitu.

Fasa Kedua.....Satu Pencarian 1980

Mengenali beberapa orang pelukis yang boleh dianggap setaraf dengan aku, mereka ini adalah Pelukis dari Angkatan Pelukis SeMalaysia. Masih mencari cari untuk melahirkan karya. Jika mengharapkan setiap hujung minggu ke kelas melukis potret dan bersembang nescaya tidak akan kemana mana. lebih lebih lagi APS hanya sebuah Persatuan Pelukis yang hanya mampu memberi sedikit tunjuk ajar untuk menjadi pelukis. kalau begitu harus juga akan makan masa bertahun tahun.

Memandangkan tuntutan kehidupan yang amat mendesak, masa untuk terus berada dalam ruang lingkup pembelajaran tentang melukis agak sukar, terpaksa memugar hutan Kota Batu perlu disegerakan. Hasilnya perlu dipetik segera buat meneruskan kehidupan berkeluarga.  Ada diantara kawan kawan pelukis memang bekerja, jadi persoalan tentang kelansungan hidup tidak begitu menghimpit.  Aku tidak berada diposisi itu, melukis lah satu satu nya harapan untuk mendapat wang . Untuk kembali mengabdikan diri ditepi jalan tidak mungkin.
Oleh yang demikian aku mencadangkan pada kawan kawan membentuk satu Kumpulan, maksud nya bergerak secara berkumpulan.  Tanpa mengganggu perjalanan APS.  Kami sebulat suara dalam satu Kumpulan…Namanya Kumpulan Pelukis Warisan. 1980. Nama-nama yang terlibat dalam Kumpulan ini, Abdul Ghani Ahmad, Husin Hasan, Ismail Othman, Hamzah Wahab, Cikgu Aziz Rahman, Zuhairi Zainal Abidin, Mazlan Murad, Najib Mohd Dawa (Datuk Dr Najib Mohd Dawa Reaktor ASWARA sekarang) dan beberapa orang lagi, telah mengadakan Pameran Bidan Terjun di Equatorial Hotel. Beruntung nya  Kumpulan Pelukis Warisan tidak di kenakan sebarang bayaran untuk pameran tersebut. Sport Light, Panel, dan sebagai nya percuma.  Sebelum itu aku ada juga bermohon sokongan dari pihak Balai Seni Lukis Negara.  Tanpa dipertikai pihak Balai Seni Lukis Negara telah memberi sumbangan sebanyak RM2000.00 tujuan untuk melancarkan lagi pameran tersebut. Tuan Syed Ahmad Jamal diberi penghormatan merasmikan pameran tersebut, selaku ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara ketika itu Syed Ahmad Jamal tidak mengabaikan hasrat kami.
NAMA KUMPULAN PELUKIS WARISAN TELAH DIABADIKAN DALAM BULETIN TITIAN ZAMAN BALAI SENI LUKIS NEGARA 1981,


Allahyarham..
Hamzah Wahab 1972
Di Aked DBKL (Coleseum Theater)
Kuala Lumpur










Din Seremban dan Allahyarham Hamzah Wahab










Din Seremban dan Allahyarham Aziz Rahman

Bersambung!!!

6 comments:

  1. Assalammualaikum..Pak Aris
    Coretan blog mengimbau kembali nostalgia semasa saya berumur 6 tahun (1971) bersama arwah ayah (Hamzah Wahab)yang menjual hasil catan beliau di jln Bkt Nenas,Jln Tun Perak (smpg Empat T/light) dan di "Benteng"..walau bagaimana pon bagi saya Pak Aris tetap the Best of the Best...

    ReplyDelete
  2. W'salam

    Terima Kasih moamzah. Rasa terharu kamu terjumpa juga blog catatan Pak Aris yang tak seberapanya ini. Allahyarham seperti abang saya, banyak juga teknik2 yang Pak Aris dapat dari nya. Semasa hayatnya Pak Aris pernah berpameran lukisan bersama dimerata tempat...Kenangan yang amat mencuit perasaan....apapun masa telah merakam kenangan. 012 2719825...Pak Aris Salam untuk seluruh keluarga. Semuga Bahagia dan diberkati...Amin

    ReplyDelete
  3. Assalammuaikum Pak Aris....Terima kasih bebanyak kerana upload gambar arwah ayah saya...Oh ya selepas kedai di Coleseum Theater dirobohkan arwah berpindah di komleks Munshi Abdullah...dan arwah tak mampu bertahan sehinggalah kedai beliau disita oleh DBKL..
    Kemudian arwah ambil upah buat keja2 mengecat rumah,kedai (berkongsi),,buat sepanduk,sign board,alamat pada badan kenderaan
    pelbagai kerja lain yang meyimpang jauh naluri seorang pelukis kerana untuk menyara keluarganya... Saya anaknya tidak dapat mengikut jejaknya...cuma anak lelakinya nombor 4, boleh berkarya seperti beliau walaupon tidak sepenuh masa...

    ReplyDelete
  4. W'salam di Komplek Munshi Pak Aris pun ada bersama Arwah. Ada juga beberapa buah lukisan Pak Aris turut sama menjadi korban oleh DBKL...
    Pak Aris juga bertemu dengan Dr Hakim kalau kesihatan mengurang, sambil tu dia akan bercerita tentang Lukisan, ada juga dia tunjuk hasil Karya nya nampak berbakat...Yah apapun bidang kerja nya adalah lebih baik, cuma melukis untuk hobi saja..Alhamdulillah....

    ReplyDelete
  5. :'( mengalir aer mata baca post dan baca perbualan kalian.. tak tahu kerana sedih atau kerana apa. Salut.

    ReplyDelete
  6. Saya kali pertama melihat Bang Aris semasa saya ke CM di tahun 1984... Begitu serius riak muka.. Tak berani ambo nak tego... Semua oelykis di situ dilihat aktif main kapur.. Ada juga 1-2 main cat minyak.. Semua lukis potret... Ekok dibukukan kisah Bg Aris... Perjuangan seni.

    ReplyDelete