Thursday, January 20, 2011

Catatan Oleh Rahimidin Zahari.. Kisah aku menjalin warna Kehidupan.

ARIS AZIZ: PEMOTRET REALITI BANGSA
By Rahimidin Zahari


Aris Aziz antara seniman pelukis established tanah air yang bergantung hidup sepenuhnya dengan hasil karya seni lukis. Dia pelukis selftaught yang tidak pernah surut berundur ke belakang. Apabila dia memutuskan untuk mengabdikan dirinya sepenuh masa kepada dunia seni lukis, maka tekad dan hasrat itu tidak pernah secuil kecil pun berubah.

Seniman pelukis ini dilahirkan di Kampung Sungai Tinggi, Trong, Perak pada tahun 1951. Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Tinggi,Trong, Taiping dan meneruskan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Agama Bendang Siam, Taiping. Selepas itu beliau berpindah pulake Madrasah Yahyawiah, Padang Rengas, Kuala Kangsar.

Pendedahan terhadap bidang seni lukis mula berdetik apabila beliau membuat kunjungan ke Singapura pada tahun 1971. Sepulangnya dari pulau yang terpisah oleh elat Terbrau dengan Tanah Semenanjung itu, dia menanam azam dan tekad untuk menceburi dunia seni lukis secara serius dan sepenuh masa. Seketika beliau pernah bekerja dengan Talasco Insurance, Kuala Lumpur, tetapi kerjaya itu di tinggalkannya kerana dia ingin jadi pelukis. Bakat melukisnya diasah dan diperhalusi lagi melalui tunjur ajar oleh beberapa pelukis, seperti Datuk Hoessain Enas dan Raja Azhar Raja Idris. Bahkan Aris tidak berasa aib untuk bertanyakan selok beluk seni lukis dengan sahabat pelukis yang lebih muda demi memperbaiki mutu hasil karyanya.

Pelbagai cabaran dan rintangan dihadapinya. Cemuhan, sindiran dan juihan bibir dari khalayak yang masih tertutup kepada bidang seni lukis tidak pernah melunturkan minatnya yang kental dan mendalam. Lontaran pelbagai kata, “sebagai seniman jalanan” dan lain-lain istilah, tidak dipedulikannya. Segala cemuhan itu menjadi tangkai azimat yang bermakna dalam hidupnya untuk terus meletakkan tapak dan jejaknya di persada seni lukis tanah air. Lebih jauh, beliau pernah menggunakan Beca Arwah ayahnya untuk menjual lukisan di Jalan Ampang.

Bermula di Jalan Ampang berhadapan dengan Balai Seni Lukis Negara ketika itu. Bahkan dia melukis betul-betul di hadapan pintu masuk BSLN.kemudian berpindah di Aked DBKL di halaman Panggung Wayang Coleseum, Komplek Munshi dibelakang Campbell Shoping Complex, Jalan Melayu dan Jalan Belanda di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur adalah medan dan dunianya mengasuh bakat dan minat. Dia bersama teman-temannya, selain melukis ikut membacakan puisi-puisi ciptaan masing-masing.

Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal dalam rencananya “A potpourri of culture in the heart of city” (NST, Sunday 7 Mei 1978) begitu memberi perhatian terhadap kegiatan Aris dan teman-temannya melukis. Dalam rencana tersebut beliau menulis :”The artist who adopt the wire fencing as the habitat of their works seven day a week, are Aris Aziz, originally from Kampung Sungai Tinggi, Trong, Taiping, Perak, who works insurance agency, and Hassan Muhammad, from Kuala Lumpur, who works for one of the leading news papers

Koleksi: Rahimidin Zahari. ( Sasterawan Negara)
















Manakala Datuk A. Samad Said pula memberikan catatan yang menarik dalam buku cendermata Pameran Solo Aris Aziz Spektrum Langkawi . Tulisan A. Samad Said : Aris Aziz adalah insan seni yang cintakan alam dan menyedari apa yang berlaku. Di bawah sedarnya, dia juga mimpikan dunia yang indah. Justeru itu selain potret , dia juga melukis berani memperkatakan sesuatu setelah ada keyakinan.

Ratusan pameran bersama pelukis-pelukis lain di pelbagai tempat dan ruang di sertainya. Sehinggalah pada tahun 1991,beliau muncul dengan “Spektrum Langkawi” sebagai pameran solonya yang pertama di Pusat Kreatif, Balai Seni Lukis Negara di Jalan Hishamudin. Pameran Yang di rasmikan oleh Datuk Seri Sanusi Junid yang menjadi Menteri Pertanian ketika itu membuka mata banyak pihak.

Seniman pelukis ini telah menghasilkan ribuan karya sepanjang lebih 30 pengelibatan beliau dalam bidang seni lukis. Karyanya menjadi koleksi dan milik kekal pelbagai golongan daripada pemimpin tertinggi negara sehingga kepada rakyat bawahan. Begitulah dengan hasil karya lukisan potretnya. Wajah yang dipotretkan daripada pemimpin tertinggi Negara sehinggalah kepada rakyat marhaen yang tidak dikenalinya, dilukiskan. Dia melukis untuk kepuasan dirinya dan juga kepuasan tempahan para pelanggannya.

Pada 25 Januari 1992 beliau menerima surat penghargaan daripada Norodom Sihanouk kerana melukis potret keluarganya. Terlibat melukis Menteri CHOGM, iaitu Menteri Antiqua dari Magdagaskar dan melukis potret Dr.Mahathir Mohamad secara live di Galeri Adiwarna, USM pada 4 Ogos 2004. Manakala pada 2007 yang lalu, Aris bersama beberapa teman pelukisnya di undang ke “Japan World Art and Culture Exchange” di Tokyo, Nagoya dan Osaka di Jepun.

Potret “Monalisa, Sukarno, Tuanku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Mahathir, A. Samad Said, Tok Kenali, Tok Guru Nik Aziz” dan pelbagai tokoh besar dan kecil negara dan dunia menjadi pilihannya. Walaupun melukis dengan menggunakan pelbagai medium, dari pastel, cat air, artkilik dan cat minyak. Aris sering dikenang dan dianggap antara segelintir pelukis potret terbaik yang pernah hadir dan lahir di persada seni lukis tanah air

Walaupun pelukis-pelukis seperti Datuk Hoessein Enas, Mazli Mat Som, Hamidah Suhaimi dan Samjis Mat Jan dikenali kerana memiliki sentuhan dan gaya yang tersendiri dalam memotret tokoh dan wajah pilihan mereka, namun Aris Aziz tetap memiliki keistimewaan dan sentuhan yang tersendiri. Sudut dan gayanya berbeza mengikut skill yang ada pada dirinya.

Aris selalu mengingati pesan salah seorang gurunya seninya, Datuk Hoessein Enas, bahawa melukis di Central Market adalah tempat untukmengasah bakat, langkah seterusnya harus diambil untuk mencari peluang dan mencapai tahap yang lebih tinggi. Zaman awalnya melukis untuk mendapatkan warna pun terbatas, tetapi kini terdapat banyak kemudahan dan kesenangan yang boleh digunakan.

Aris Aziz amat mengharapkan bahawa dunia seni lukis di Kuala Lumpur dan Malaysia akan lebih meluas. Harus digelorakan lagi, memetik kata-kata A. Samad Said. Apabila ramai pelukis yang lahir, maka pencambahan idea dan pemikiran kreatif akan terus berkembang dengan lebih pesat lagi. Dan ini akan mencetuskan pemikiran baru. Lukisan adalah media untuk mencetus minda, melampaui pelbagai golongan daripada engineer, orang ekonomi, orang politik atau sesiapa sahaja. Pemikiran kreatif manusia dicetuskan oleh percambahan kepelbagai bidang seni seperti seni tampak, teater, lagu-lagu rakyat dan ini akan merubah pembangunan ekonomi dan social masyarakat.

Aris tidak senang dengan anggapan menjadi pelukis, seseorang itu akan melarat dan hidup dalam kesusahan. Baginya apabila kerajaan membina BSLN itu adalah lambing kejayaan dan kekayaan pelukis Malaysia. Baginya BSLN adalah bukti dan lambang pencapaian pemikiran pelukis Malaysia kerana di dalamnya terhimpun segala hasil karya pelukis ternama tanah air. Itu adalah khazanah dan nilai tamadun yang dibina bertahun-tahun oleh seniman tampak tanah air.

Dalam hidupnya, dia amat berterima kasih kepada dua orang tokoh Negara, iaitu Sasterawan Negara A. Samad Said dan Tun Mahathir Mohamad. A. Samad Said sebagai penasihat dan pemberi perangsang yang amat mengambil tahu tentang perkembang pelukis. Setiap pameran oleh Aris dan teman-temannya, A. Samad Said tidak pernah menguzurkan diri untuk hadir.

Baginya juga era Dr. Mahathir adalah zaman kemuncak dan meriahnya seni lukis di Pasar Budaya. Tun Mahathir setiap bulan turun ke Pasar Budaya untuk menjenguk keadaan pelukis di sana. Dia menjemput pelukis ke Seri Perdana untuk makan malam bersama. Sebahagian koleksi di Galeri Perdana adalah koleksi yang dibelinya sendiri dan juga yang dihadiahkan oleh pelukis.Kerana sikap ambil pedulinya kepada pelukis, maka ramailah tokoh korporat yang membeli hasil karya pelukis ketika itu. Dan ini merancakkan lagi aktiviti melukis oleh para pelukis di sana.

Sentuhan cat airnya melalui lukisan “Kuala Selangor” (2007) memperjelaskan kemahiran Aris menggambar dan merakam lanskap Kuala Selangor dengan nelayan Melayu yang daif dan miskin itu ke dalam karyanya sebagai sebuah rakaman zaman. Langit biru dan hijau muda di belakang rumah terpacak di atas air yang berolak dan berombak. Bot terapung dengan bayang-bayang warna cat merah yang membiaskan bayang ke dalam air, Kayu-kayu buruk meranggas dan jeti reput menjulur ke hadapan.

Sayu, suram, sedih dan pelbagai rasa tergambar dalam landkap Aris yang menggambarkan betapa harapan terpendam dan kemiskinan terlukis wajah nelayan Kuala Selangor. Aris perakam zaman dan pemotret realiti bangsanya. Walaupun sasaran kemajuan sudah melebihi tahun sasarannya, tetapi reality yang cuba dinafikan oleh politik kepartian itu tetap ada dan menunjukkan bahawa cakap politik tidak pernah memenangi hati rakyat jelata.

Potret A. Samad Said (2006) adalah antara lukisan potret Aris yang menyimpan beribu rahsia dan tafsiran. Renungan wajah di dalamnya jauh dan sayu menggambarkan masa lampau. Renungan yang menyimpan nilai estetika dan bancuhan intelektual seorang sasterawan dalam garis dan warna seorang pelukis. Cara Aris menyorot wajah A. Samad dari sisi dengan palitan yang di tebalkan pada wajah. Perang dan suram seolah-olah merenung sisa perang masa lalu yang pernah dialaminya secara reality. Wajah itu adalah wajah yang merenung dan amat membenci perang yang kita temui dalam banyak novel-novelnya seperti :- Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau dan Adik Datang. Potret A. Samad Said ini adalah potret yang mencerita tentang nasib bangsa di masa lampau dan sebuah perenungan dunia kesenian, sastera dan budaya di masa hadapan.

Sejak 1986 beliau berada di ‘Art Corner’ di Pasar Budaya, Kuala Lumpur menerima pelbagai tempahan. Dari bucu dalam Pasar Budaya, beliau berpindah ke Bangunan Anexx di sebelah Pasar Budaya. Bermula akhir 2007 beliau beralih ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur bersama teman-teman pelukisnya. Dan awal tahun 2008 sekali lagi lembaran sejarah dirinya dibuka apabila dia kembali semula di laman Balai Seni Lukis Negara untuk menghidupkan aktiviti melukis secara out door. Bermula dengan di BSLN di Jalan Ampang kini dia kembali semula ke BSLN di Jalan Tun Razak.

Kembalinya beliau bersama dengan seniman pelukis yang lain ke wakaf di laman BSLN ini seperti member pertanda awal bahawa gerakan seni lukis akan kembali merakyat. Hasil karya seni lukis adalah untuk dinikmatikan keindahan estetikanya dan bukan untuk di simpan dalam rumah kaca semata-mata. BSLN dibina kerana adanya pelukis tanpa mengambil kira kelas dan kasta. Dan sumbangan Aris dan teman-teman pelukisnya yang harus dilihat sebagai sumbagan yang amat bererti kepada seni lukis tanah air.
Selepas 17 tahun berlalu dari pameran solonya yang pertama “Sepktrum Langkawi”, Aris Aziz sememangnya bersedia untuk pameran solonya yang mendatang. Lebih 30 tahun dalam dunia seni lukis dan dengan jarak 17 tahun dari pameran solo yang pertamanya sudah pasti Aris akan memberikan daya ekpresi yang lebih memukau dan menyilau dengan calitan dan palitan warna di kanvasnya.

Kuala Lumpur, 21 Februari 2008

1 comment:

  1. salam Pak Aris,..sekeping foto yang tentunya menyembunyikan sejuta kata... melankolik dan penuh nostalgia..

    ReplyDelete