Mohamed Noor Bin Othman
POTRET DIRI ARIS AZIZ BERSAMA APS
Siapakah Aris Aziz sebenarnya? Apabila dikaitkan dengan
catan potret, nama beliau tidak dilupakan.
Kawan pernah bercerita bahawa Aris Aziz yang polular dengan
gelaran Pak Aris adalah pelukis jalanan. Perjuangannya sebagai pelukis jalanan
telah membawa dirinya ke beberapa buah negara Eropah. Suka duka, menangis dan
ketawa tersimpan sebagai kenangan.
Melihat menerusi foto di dalam dinding FB. Beliau pernah
berada di UK, Scotland dan beberapa bandar utama di Eropah. Aktiviti dan
kembara seni sebelum Pameran di Tokyo sekitar tahun 2007 hingga 2008 dan
pengalaman seawal dan selepas itu digambarkan sebagai titik tolak dalam
perjuangan seni. Tahun dan tempat sebagai fakta membuktikan kata-kata Ernst van
de Wetering dalam katalog pameran 'Rembrant by Himself' (1999) bahawa catan
potret tidak akan lenyap begitu sahaja walaupun berabad berlalu sekiranya
seniman berterusan berkarya dan dokumentasinya dipelihara.
Pelbagai tulisan berkaitan apresiasi ke atas karya Aris Aziz
dan perjalanan hidupnya diterbitkan di dalam media masa dan barangkali buku
tentang kembara seninya sebagai pelukis jalanan juga sudah ditulis atau sedang
ditulis.
Diyakini dalam lukisan potret diri, namanya sebagai tokoh
yang sinonim bersama Angkatan Pelukis SeMalaysia (APS) akan dikenang selama beliau
mendukung aspirasi APS dan aktif melibatkan diri dalam berkarya dan
menyumbangkan idea. Walaupun beliau pernah berpendapat legasi pengasas APS
(Mohd Hoessein Enas) sendiri belum menepati akar umbi namun dalam kotak
fikirnya ada sesuatu yang yang masih tersirat.
Mohamed Noor Bin Othman
3hb Februari 2017
PERJUANGAN PELUKIS JALANAN
Di kota besar di kaki lima di bawah lampu neon
berjalan manusia duit di poket
senyum mewahan bergaji bulanan
menyoal perjuangan seni.
Sebenarnya perjuangan apa?
dan mengapa untuk apa?
Manusia berduit minta wajahnya dipotretkan
terpalit derita tersembunyi di sebalik senyum
di ceruk hati ..bersarang ..tiada siapa
mengenali hanya untuk kalian
merasakan aku sangat berbakat
Meneruskan hidup tidak punya
wang besar tidak bergaji besar
dan hidup sangat runcing
di kota besar mengenal derita untuk apa.
Jauh di kelopak hati menyatakan
keikhlasan pada keluarga
untuk melestari mereka
melalui bakat seni dan rezeki.
Jika suara-suara menyatakan
pelukis jalanan terperangkap
dengan mitos kesenimanan maka
perjuanganku kelangsungan hidupku
umpama penoreh dan nelayan bergaji hari
Di kaki lima potret diri siap dibayar
senyum dalam bingkai kejujuran
untuk keikhlasan survival hidup
mekar seni di kota besar syukur Tuhan
memberi kudrat dan akal bukan
terperangkap bersama mitos kesenimanan.
Tak siapa nak pandang
kesenimanan hidup yang berjalan
kerana dunianya lain.
No comments:
Post a Comment